Kisah Si Penenun Songket

Hasil daripada temu bual bersama seorang pekerja di Cik Minah Songket, kami memperoleh pelbagai maklumat baru yang tidak pernah kami ketahui sepanjang hidup kami tentang songket. Siti Aishah, seorang ibu tunggal berpangkat nenek telah bekerja di perusahaan songket ini selama lebih kurang 40 tahun. Beliau yang kini berumur 60 tahun memulakan kerjaya sebagai penenun songket sejak menamatkan zaman persekolahan. Beliau yang sejak dulu telah mendapat sokongan dan dorongan daripada ibu bapanya tidak pernah berputus asa meneruskan pekerjaan ini sebagai sumber pendapatan bagi menyara kehidupannya dan keluarga.

BeFunky_DSCN6994[1].jpg

Mak Cik Siti Aishah

Pada asalnya, Mak Cik Aishah tidak pernah terfikir untuk menceburi bidang tenunan songket ini. Tetapi kerana minatnya serta daya usahanya yang sentiasa membuat pemerhatian terhadap penenunan songket pada waktu itu telah menyebabkan beliau kini menjadi salah seorang pekerja Cik Minah Songket yang semakin mendapat tempat dalam kalangan penggemar songket di dalam mahupun di luar negara.

Mak Cik Aishah tidak mendapat pendidikan khusus mengenai cara menenun songket, tetapi hanya sekadar pemerhatian beliau yang teliti. Beliau terpaksa berulang-alik dari rumah ke tempat kerja dengan menaiki bas awam yang memakan tambang sebanyak RM2 untuk pergi dan balik. Beliau bekerja selama 6 hari seminggu bermula jam 8:00 pagi hingga 5:00 petang. Dalam sehari, Mak Cik Aishah mampu menghasilkan hampir 1 kaki kain songket.

Menurut beliau, pada awal pembabitannya dalam industri menenun songket, beliau hanya menerima bayaran sebanyak RM12 seminggu. Lama-kelamaan, bayaran bertambah kepada RM18 berdasarkan kemahirannya yang semakin berlipat-ganda. Sehingga kini, bayaran gaji Mak Cik Aishah mencecah RM400 sebulan. Katanya lagi, bayaran tersebut adalah tidak berbaloi apabila dilihat pada kerumitan kerja beliau. Syukur juga ke hadrat Ilahi kerana beliau dikurniakan dua orang anak yang sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban beliau dalam menyara kehidupan.

Kain songket boleh dihasilkan sama ada secara berseorangan atau berpasangan, tiada bezanya. Hanyalah akan menjadi lebih mudah apabila ditenun berpasangan untuk menjimatkan masa dan tenaga.

Kain songket tidak mempunyai jenis yang spesifik tetapi perbezaanya adalah pada jenis benang yang digunakan seperti benang kapas, benang sutera, benang poliester dan lain-lain. Harga kain adalah mengikut jenis benang dan biasanya harga kain songket yang menggunakan benang sutera adalah paling mahal. Mak Cik Aishah juga menyatakan bahawa beliau tidak pernah cedera disebabkan kerja tenunan ini. Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa kerja menenun songket adalah kerja yang selamat.

BeFunky_DSCN6975[1].jpg

Peralatan yang digunakan untuk menenun kain songket dihasilkan oleh tukang kayu. Harga peralatan ini adalah munasabah iaitu Rm500 jika diperhatikan melalui kelecehan alat tersebut. Alat penenun songket ini jarang rosak kerana ia tidaklah terdedah kepada hujan dan panas.

BeFunky_DSCN7001[1].jpg

Seorang pekerja sedang menggunakan belira besar semasa menenun songket.

Mak Cik Aishah menyuarakan isi hatinya tentang anak muda zaman sekarang yang kurang mendalami bidang tenunan songket ini. Jika dahulu, Mak Cik Aishah berpeluang mengajar golongan muda untuk menenun songket tetapi sejak kebelakangan ini, beliau tdak lagi mempunyai peluang tersebut kerana ketiadaan orang muda yang berminat.

Bidang tenunan songket ini sepatutnya diangkat sama tinggi dan setaraf dengan bidang-bidang lain seperti perubatan, kejuruteraan dan pertanian bagi memastikan kelangsungan penghasilan kain songket ini pada masa akan datang.

Leave a comment