Sejenak Bersama Cik Minah Songket

Pada 18 Jun 2013 yang lalu, kami telah berkunjung ke Cik Minah Songket yang terletak di Kg. Penambang, Kota Bharu Kelantan. Kami telah menemu ramah En. Mohamed b. Haji Hussein iaitu pewaris generasi ke-2 Cik Minah Songket. Cik Minah Songket ditubuhkan oleh Cik Minah iaitu ibu kepada En. Mohamed sendiri. 

Image

Cik Minah Songket di dada akhbar

Image

En. Mohamed ketika ditemu bual

En. Mohamed terpilih untuk mewarisi perusahaan ini walaupun mempunyai bilangan adik-beradik yang ramai kerana adik-beradik beliau yang lain tidak berminat untuk menguruskan     perusahaan keluarga ini. Hanya beliau dan adik beliau, Ahmad Kamel yang meneruskan warisan ini. Pada tahun 70-an, En. Mohamed merupakan seorang aktivis namun beliau beralih arah kepada bidang perniagaan apabila melanjutkan pelajaran dalam bidang tersebut di Institut Teknologi Mara (ITM) atau kini lebih dikenali sebagai UiTM. 

Beliau mula menguruskan perusahaan ini ketika beliau berumur kira-kira 20 tahun dan telah berjaya meneruskan legasi perniagaan ini hampir 30 tahun. Walaupun berada dalam lingkungan usia 60 tahun, En. Mohamed masih gagah dalam menguruskan perniagaan keluarga ini.  

Apabila ditanya tentang pengalaman pahit beliau sepanjang menceburi bidang ini, beliau menyatakan bahawa tiada pengalaman yang terlalu pahit untuk dialami. Sekadar jatuh bangun dalam perniagaan adalah adat, katanya. 

Beliau tidak menghadapi persaingan yang terlalu sengit dalam mempromosikan Cik Minah Songket kerana ia telah lama mendapat tempat dalam kalangan penggemar songket. Rata-rata pemandu teksi dan pekerja hotel di sekitar Kelantan arif tentang perusahaan ini apabila diajukan pertanyaan mengenainya. 

Walaupun Cik Minah Songket terletak dalam kelompok perusahaan songket yang berdekatan antara satu sama lain, perusahaan ini tidak pernah berebut dalam industri kerana masing-masing tidak mempunyai sifat mementingkan diri sendiri. Malahan, mereka juga akan mempromosikan kedai songket yang lain kerana tujuan asal mereka bukanlah untuk mencari keuntungan semata-mata tetapi untuk memastikan songket tetap mendapat tempat dalam kalangan pengguna. 

Menurut beliau lagi, tiada persatuan songket yang khusus bagi memperjuangkan peniaga-peniaga songket kerana perusahaan ini tidaklah terlalu meluas seperti batik. Walaupun begitu, beliau ada juga menjual batik dalam premis sebagai jualan sampingan.

Image

Batik dijual sebagai ‘secondary line’. 

Bagi memudahkan urusan perniagaan ini, sebuah lori digunakan untuk membuat penghantaran kepada pemborong songket.

Image

Penggunaan lori untuk penghantaran songket

Cik Minah Songket mempunyai tenaga kerja seramai lebih kurang 30 orang pekerja. Sebenarnya, kerja menenun songket ini dilakukan di sebuah kampung yang terletak di Pengkalan Chepa. Pekerja yang menyungkit songket ini di bahagian bawah premis adalah hanya untuk memperkenalkan cara menenun songket kepada para pelanggan dan pelancong yang berkunjung. 

 

Leave a comment